Pembentukan keperibadian anak banyak dipengaruhi pendidikan yang diberikan kedua ibu bapa. Proses pendidikan tersebut bermula sejak dari alam rahim, kemudian di rumah dan sekolah. Malahan kadangkala perbuatan kedua ibu bapa sebelum memasuki gerbang perkahwinan turut memberi sumbangan terhadap perkembangan keperibadian anak-anak mereka.
Dalam mencorak fitrah anak yang suci dan murni itu, ibu bapa memiliki peranan yang sangat besar sehingga anak-anak mereka tidak menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Kehendak nafsu anak hendaklah dikawal dengan iman, keperibadian anak dibina dengan akhlak mulia serta jasmani anak dilatih dengan permainan yang dituntut oleh sunnah. Dengan demikian lahirlah generasi Islam yang sihat mental dan fizikal.
PRINSIP asuhan dan pendidikan anak-anak zaman IT kurun ke-21 sentiasa menjadi tajuk perbincangan kerana ia memerlukan ibu bapa mengasuh dan mendidik anak-anak secara positif.
Kaedah yang digunakan sekarang juga berbeza daripada cara kanak-kanak didisiplin dan dibesarkan pada masa dahulu.
Malah, kini ibu bapa dan pendidik lebih meletakkan kepercayaan kepada program Montessori untuk pembangunan minda anak-anak.
Menurut Pengetua dan pemilik Taska Jessy, Jessy Yau, 40, mencarta kemajuan dalam pembangunan kanak-kanak berasaskan disiplin, kemahiran sosial, kebebasan, konsentrasi dan pengetahuan akademik amat penting.
Katanya, ibu bapa tidak perlu risau tentang kemahiran membaca dan menulis kerana pendidikan berasaskan nilai murni akan mewujudkan keupayaan belajar.
“Kita mesti menanamkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak kita supaya menjadi asas yang kukuh.
“Setelah kita membina asas yang kukuh dalam diri anak-anak kita, mereka akan dapat membina dan memperolehi keyakinan diri dan konsentrasi dengan mudah,” katanya.
Menurut Yau, dalam soal asuhan dan didikan, tiada jalan pintas yang boleh kita ikuti.
Ibu bapa yang tidak meluangkan masa untuk mengajar dan membimbing anak-anak mereka tidak boleh mengharapkan keajaiban.
“Melalui program Montessori, penekanan kepada pendidikan yang mengajar kanak-kanak tentang pentingnya disiplin dan kebebasan diberikan.
“Segala kaedah dan bahan pengajaran yang digunakan bertujuan untuk menggerakkan lima deria kanak-kanak, iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau,” jelasnya.
Tambah Yau, Program Montessori merupakan kaedah pendidikan yang digunakan untuk membimbing kanak-kanak pra sekolah kurun ke-21.
Program ini menggunakan bahan-bahan konkrit untuk menajamkan lima deria kanak-kanak, bermula daripada yang paling senang hingga kepada yang paling lengkap daripada bahan-bahan konkrit hingga kepada bahan-bahan abstrak.
Di samping itu, kanak-kanak juga harus diberi kebebasan untuk membuat pilihan dan berdikari dengan syarat kita perlu menunjukkan bahaya yang mungkin mereka hadapi.
“Biarkan anak-anak mencuba segala-galanya. Jika mereka ingin membuat kerja-kerja dapur, beri mereka pisau mentega dan biarkan mereka belajar,” katanya.
Menurut Yau, dalam menghadapi cabaran mengasuh dan membesarkan anak-anak, ibu bapa atau guru perlu mencuba dua pendekatan secara lembut dan keras tanpa memerlukan rotan dan pukulan.
Tujuan utama kita mendidik anak-anak ialah untuk memastikan mereka tahu bagaimana untuk menguruskan diri, untuk bertanya soalan yang munasabah dan menjawab dengan cara yang betul.
“Apabila kanak-kanak terlalu hiper, nakal atau membuat perangai, pendekatan yang boleh digunakan untuk menguruskan mereka hendaklah berasaskan perwatakan individu mereka dan maklum balas daripada ibu bapa.
“Ibu bapa atau pendidik yang menggunakan cara lembut biasanya akan memeluk kanak-kanak yang melakukan kesalahan dan menjelaskan kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah dan menasihatkan mereka supaya tidak mengulanginya lagi,” tegasnya.
Kanak-kanak yang belajar membaca dan menulis mesti terlebih dahulu mengetahui bagaimana untuk memberi tumpuan atau konsentrasi.
Menurut Yau, cara yang berkesan untuk memulakan pelajaran ialah membantu mereka menguatkan otot-otot jari dengan meniru corak pada kertas bertanda titik-titik, garis melintang, segi empat dan bulat.
Cara paling berkesan untuk mengajar kanak-kanak membaca ialah dengan menyebut bunyi huruf-huruf abjad dan mengajar anak-anak meniru huruf-huruf ini dengan jari, katanya.
Justeru itu, Yau menyarankan beberapa cara berikut untuk renungan ibu bapa :
· Ibu bapa tidak boleh terlalu bergantung kepada pembantu rumah mereka untuk mengasuh anak-anak.
· Luangkan masa untuk memandi, menyuap makanan dan mengasuh anak-anak mereka. Jika tidak, mereka tidak akan dapat berkongsi ikatan kasih sayang dengan anak-anak mereka.
· Ibu bapa mesti meluangkan masa untuk duduk bersama anak-anak dan menerangkan konsep sebarang aktiviti yang akan dimulakan oleh anak-anak mereka buat kali pertama bagi membantu mereka memahami dan bersikap rasional.
· Ibu bapa tidak seharusnya membeli segala yang dikehendaki oleh anak-anak. Sentiasa bersikap tegas. Sekali sekala, berikan apa yang sekian lama mereka inginkan sebagai hadiah mengejut.
· Jika anak anda membuat perangai, menjerit-jerit, menangis atau bergolek-golek di atas lantai, biarkan sahaja. Jangan sekali-kali membenarkan anak anda menggunakan air mata untuk mempengaruhi anda.
· Sentiasa konsisten apabila mengenakan peraturan untuk mendisiplinkan anak-anak. Jika tidak, anak-anak akan mencari dan menggunakan kelemahan ibu atau bapa.
· Jangan sekali-kali memaksa anak anda melakukan lebih daripada apa yang mampu dilakukan.
· Kanak-kanak adalah ibarat kuntum bunga yang menanti masa untuk kembang mekar. Terpulanglah kepada kita sebagai ibu bapa dan pendidik untuk mencungkil minat dan bakat yang sedia terpendam dalam diri mereka. ( Noor Azmah Ibrahim )
Tuesday, January 13, 2009
Peribadi Anak : baik vs buruk. Peranan siapa?
Posted by noratikah at 11:04 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment